SIRAH

SEJARAH HAJAR ASWAD
Hajar aswad adalah batu syurga yang asalnya putih tetapi kini bertukar hitam. SEBUAH batu bundar yang berwarna hitam dan berlubang, terletak di sudut timur Kaabah atau sebelah kiri Multazam (antara Hajar Aswad dan pintu Kaabah), tingginya sekitar 150 sentimeter, di atas tanah. 

       Batu ini mempunyai lingkaran sekitar 30 sentimeter dan garis tengah 10 sentimeter, lebih besar daripada lingkaran muka seseorang. Kerana itu, seseorang yang ingin mencium batu ini harus memasukkan mukanya ke dalam lubang itu. Kepala yang besar pun dapat dimasukkan ke dalam lubang batu hitam ini. Bahagian luar batu hitam ini diikat dengan pita perak yang berkilat. 

     Asal dan Sejarah Hajar Aswad Menurut banyak riwayat, antara lain daripada Abdullah bin Umar bin Khattab, Hajar Aswad berasal dari syurga. Riwayat oleh Sa'id bin Jubair r.a daripada Ibnu Abbas daripada Ubay bin Ka'b r.a, menerangkan bahawa Hajar Aswad dibawa turun oleh malaikat dari langit ke dunia. Abdullah bin Abbas juga meriwayatkan bahawa Hajar Aswad adalah batu yang berasal dari syurga, tidak ada sesuatu selain batu itu yang diturunkan dari syurga ke dunia ini. Riwayat-riwayat di atas disebutkan oleh Abu al-Walid Muhammad bin Abdullah bin Ahmad al-Azraki (M.224 H/837 M), seorang ahli sejarah dan penulis pertama sejarah Mekah.Tidak ditemukan maklumat yang jelas tentang siapa yang meletakkan Hajar Aswad itu pertama kali di tempatnya di Kaabah; apakah malaikat atau Nabi Adam a.s. 
  
       Pada mulanya Hajar Aswad tidak berwarna hitam, melainkan berwarna putih bagaikan susu dan berkilat memancarkan sinar yang cemerlang. Abdullah bin Amr bin As r.a (7 SH-65 H) menerangkan, perubahan warna Hajar Aswad daripada putih menjadi hitam disebabkan sentuhan orang-orang musyrik. Hal yang sama diungkapkan oleh Zubair bin Qais (M. 76 H/65 M). Dikatakannya bahawa Hajar Aswad adalah batu dunia yang berasal dari syurga yang dahulunya berwarna putih berkilauan, lalu berubah menjadi hitam kerana perbuatan keji dan kotor yang dilakukan oleh orang musyrik. Namun, kelak batu ini akan berwarna putih kembali seperti sedia kala. Menurut riwayat Ibnu Abbas dan Abdullah bin Amr bin As, dahulu Hajar Aswad tidak hanya berwarna putih tetapi juga memancarkan sinar yang berkilauan. Jika Allah SWT tidak memadamkan kilauannya, tidak seorang manusia pun yang sanggup mamandangnya. Pada tahun 606 M, ketika Nabi SAW berusia 35 tahun, Mekah telah mengalami banjir besar sehingga perlu dibina kembali oleh Nabi Muhammad SAW dan kabilah-kabilah terdapat di Mekah ketika itu. 

      Semasa pembangunan semula itu selesai, dan Hajar Aswad hendak diletakkan kembali ke tempatnya, terjadilah perselisihan di antara kabilah-kabilah itu tentang siapa yang paling berhak untuk meletakkan batu itu di tempatnya. Melihat keadaan ini, Abu Umayyah bin Mugirah dari suku Makzum, sebagai orang yang tertua, mengajukan usul bahawa yang berhak meletakkan Hajar Aswad di tempatnya adalah orang yang pertama sekali memasuki pintu Safa keesokan harinya. Ternyata orang itu adalah Muhammad yang ketika itu belum menjadi rasul. 

      Dengan demikian, dialah yang paling berhak untuk meletakkan Hajar Aswad itu di tempatnya. Akan tetapi dengan keadilan dan kebijaksanaannya, Muhammad tidak langsung mengangkat Hajar Aswad itu. Baginda melepaskan serbannya dan menghamparkannya di tengah-tengah anggota kabilah yang ada. Hajar Aswad lalu diletakkannya di tengah-tengah serban itu. Baginda kemudian meminta para ketua kabilah untuk memegang seluruh tepi serban dan secara bersama-sama mengangkat serban sampai ke tempat yang dekat dengan tempat diletakkannya Hajar Aswad. Muhammad sendiri memegang batu itu lalu meletakkannya di tempatnya. Tindakan Muhammad ini mendapat penilaian dan penghormatan yang besar dari kalangan ketua kabilah yang berselisih faham ketika itu. 

      Awalnya, Hajar Aswad tidak dihiasi dengan lingkaran pita perak di sekelilingnya. Lingkaran itu dibuat pada masa-masa berikutnya. Menurut Abu al-Walid Ahmad bin Muhammad al-Azraki (M. 203 H), seorang ahli sejarah kelahiran Mekah, Abdullah bin Zubair adalah orang pertama yang memasang lingkaran pita perak di sekeliling Hajar Aswad, setelah terjadi kebakaran pada Kaabah. Pemasangan pita perak itu dilakukan agar Hajar Aswad tetap utuh dan tidak mudah pecah. Pemasangan pita perak berikutnya dilakukan pada 189 H, ketika Sultan Harun ar-Rasyid, Khalifah Uthmaniah (memerintah tahun 786-809 M), melakukan umrah di Masjidil Haram. Ia memerintahkan Ibnu at-Tahnan, seorang pengukir perak terkenal ketika itu, untuk menyempurnakan lingkaran pita perak di sekeliling Hajar Aswad dan membuatnya lebih berkilat dan berkilau. 

      Usaha berikutnya dilakukan oleh Sultan Abdul Majid, Khalifah Uthmaniah (1225-1277 H/1839-1861 M). Pada tahun 1268 H, baginda menghadiahkan lingkaran emas untuk dililitkan pada Hajar Aswad, sebagai pengganti lingkaran pita perak yang telah hilang. Lingkaran emas itu kemudian diganti dengan lingkaran perak oleh Sultan Abdul Aziz, Khalifah Uthmaniah (1861-1876 M). Pada 1331 H, atas perintah Sultan Muhammad Rasyad (Muhammad V, memerintah pada tahun 1909-1918), lingkaran pita perak itu diganti dengan lingkaran pita perak yang baru. Untuk menjaga dan mengekalkan keutuhannya, Hajar Aswad sering dililit dan dilingkari pita perak. 

 Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan

 

Peristiwa Israk dan Mikraj dan Pengajaran Yang Perlu di Hayati

Peristiwa Israk dan Mikraj dan Pengajaran Yang Perlu di Hayati
Batu terapung Isra’ Mikraj pandangan atas
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.
Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.
01.Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
02.Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.
Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud;
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan “asra bi ‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi “asra bi rohi ‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

PENGERTIAN SIRAH


Memahami pengertian sirah itu sendiri akan sedikit sebanyak memberikan kesedaran ke atas diri kita sendiri mengenai betapa pentingnya mengetahui sirah kehidupan junjungan besar kita, nabi Muhammad S.A.W.  Menerusi pembacaan, menurut Ibnu Mandzur dalam kitab Lisanul Arab menyatakan bahawa As Sirah menurut bahasa bermaksud kebiasaan, jalan, cara dan tingkah laku.  Menurut istilah umum pula, ianya membawa maksud perincian hidup seseorang atau sejarah hidup seseorang.

Para ulama pula bersepakat menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan as-Sirah an-Nabawiyah ialah rakaman sejarah hidup Rasulullah S.A.W yang komprehensif dan kini sudah menjadi satu nama atau istilah daripada disiplin ilmu yang tersendiri.
Ada dalam kalangan ulama ahli sejarah terdahulu memakai istilah ‘Ilmu peperangan dan Sejarah’ sebagai kata nama yang mengantikan perkataan sirah.  Pada dasarnya sirah memperbahaskan 3 keadaan utama iaitu :
1.    Sejarah kehidupan Rasulullah S.A.W sejak tanda-tanda kenabian (sejak lahir) sampai wafatnya.
2.    Sejarah kehidupan para sahabat yang beriman dan berjihad bersama beliau.
3. Sejarah penyebaran cahaya Islam yang dimulai turunnya Al ‘Alaq di Gua Hira sampai berduyun-duyun umat manusia di Jazirah Arab memasuki Islam.
Maka, dapatlah disimpulkan bahawa sirah dalam konteks kehidupan Rasulullah S.A.W bermaksud perincian perjalan hidup Rasulullah S.A.W itu sendiri bermula dari baginda dikandung oleh ibunda baginda sehingga saat kewafatan baginda S.A.W. Kata kunci yang boleh dipegang ialah pengajian sirah bukan sahaja mengkaji peristiwa dan mengabaikan pengajaran yang terdapat di dalamnya, sebaliknya pengajian ini lebih kepada meletakkannya sebagai asas dan panduan dalam hidup.

1 comment:

ZANAINAH BINTI AZIZ said...

Tahniah cikgu! Teruskan usaha murni ini. Moga perkongsian ilmu ini berpanjangan dan dapat dimanfaatkan bersama. Terima kasih.