Thursday, 13 December 2012

AMANAH DALAM KEHIDUPAN


Dalam Islam, amanah adalah salah satu sikap terpuji yang jelas dan terang telah dinyatakan bahawa amanah itu sangat penting dalam menjalani kehidupan seharian. Kepentingan sikap amanah ini dalam kehidupan kita untuk menjadi orang mukmin yang baik amat jelas terbukti di antara 4 sikap terpuji para nabi dan rasul iaitu Siddiq (Benar), Amanah, Tabliq (Menyampaikan) dan Fatanah (Bijak).

           Amanah menuntut kita sebagai Umatnya untuk melakukan apa saja dengan amanah, tidak kira amanah dalam memenuhi tuntutan sebagai Hambanya, sebagai umatnya, terhadap keluarga, masyarakat, diri sendiri dan pekerjaan dilakukannya.

       Dalam konteks memenuhi amanah di dalam pekerjaan, pekerja yang bekerja dibayar gaji oleh majikannya perlu sedar ke atas akad (perjanjian) menerima tawaran kerja sebelum ini agar amanah dilakukan dalam pekerjaan tidak terkeluar daripada landasan sebenar mengapa kita menerima pekerjaan yang ditawarkan sebelum ini.

         Jika niat kita baik menerima pekerjaan keranaNya, ianya akan melahirkan sikap amanah yang bertapak dihati sampai bila-bila. Tetapi jika niat selain daripada Kerana-Nya, maka sikap amanah yang sepatutnya hadir di dalam hati hamba-Nya akan terhakis dengan kelalian diri kita sendiri, akibat mengkhianati amanah yang diberikan.

             Dalam Surah Al-Anfal ayat 27, Allah SWT telah berfirman yang membawa maksud;
"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui salahnya"

          Amanah tidak sekali-kali boleh dikhianati, kalau dikhianati juga akan membawa kesalahan yang sanggat tidak baik untuk diri kita. Pekerja yang tidak amanah misalnya akan melakukan pekerjaan tanpa panduan dan tatatertib yang betul. Setiap perbuatannya di pejabat sedikitpun tidak takut akan menerima balasan daripada Allah SWT. Melakukan kerja tanpa memikirkan kesan jangka panjang dan jika berlakunya pecah amanah atau amanah dikhianati maka ketengan hatinya akan hilang kerana takut akan bayang-bayang sendiri, tidur tidak lena dan pelbagai lagi masalah akan terjadi.

         Cabaran maha hebat bagi pekerja di zaman moden yang penuh cabaran kini. kekuatan iman benteng kepada amalan salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya jika beramanah dan berintegriti. Sesungguhnya niat dan minat yang mendalam terhadap pekerjaan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dengan diiringi usaha yang berterusan akan melahirkan sikap amanah dengan sendirinya dalam diri kita tanpa paksaan daripada faktor luaran seperti persekitaran dan desakan ketua jabatan.

Wednesday, 12 December 2012

PRIHATINKAH KITA NASIB SAUDARA DI GAZA, PALESTIN


Tanggal 15 Mei 1948 merupakan peristiwa hitam bagi rakyat Palestin dan umat manusia amnya kerana pada tarikh ini, dengan rasminya tertubuh Negara Haram Israel. Peristiwa ini dikenali sebagai Nakhbah Palestin yang merujuk kepada penubuhan negara haram Israel. Nakhbah sendiri bermaksud “malapetaka atau bencana besar”. Peristiwa ini bermula dengan terlaksanya kependudukan dan penjajahan haram oleh rejim Zionis ke atas tanah dan penduduk asal negara Palestin secara sistematik dengan bantuan PBB dan British. AQSA SYARIF Ditubuhkan dan didaftarkan di Malaysia sebagai suatu organisasi yang berprofil sukarela di atas dasar kemanusiaan. Aqsa Syarif (singkatan: AQSA) memberi maksud “Masjid Yang Dimuliakan”. Aqsa Syarif mempunyai empat misi iaitu Penyebaran Maklumat, Bantuan Kemanusiaan, Bantuan Kewangan dan Kerjasama. Dianggotai oleh lapan orang ahli lembaga dari berbagai latar belakang pendidikan dan kerjaya dan menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kelima bernaung di bawah Pertubuhan IKRAM Malaysia. Berganding bahu menyumbang tanaga dan fikiran untuk kebaikan Palestin dan dunia secara amnya. Aqsa Syarif mengharap dorongan dan sokongan dari para sukarelawan dan seluruh rakyat Malaysia.
Sumbangan ikhlas kepada : AQSA SYARIF
Kanak-kanak dibunuh kejam

Saturday, 17 November 2012

KEAJAIBAN AIR LIUR


Pernahkah anda terfikir mengapa haiwan seperti kucing menggunakan air liur untuk menjilat-jilat badannya? Dan, kenapa sebahagian orang, apabila baru bangun tidur pada waktu pagi terus makan, tanpa menggosok gigi terlebih dahulu. Perbuatan ini dilihat sebagai pengotor, walhal perkara sebegitu telah lama menjadi budaya orang luar? Saintis Belanda baru-baru ini telah menemui satu jawapan mengenai pekara ini.

Hasil penyelidikan yang dilakukan mereka, didapati rembesan cecair dalam mulut yang dikeluarkan oleh kelenjar air liur itu memang menyimpan banyak komponen luar biasa yang memberi manfaat kepada tubuh manusia. Salah satunya ialah zat yang mampu mempercepatkan proses penyembuhan luka.

         Fakta ini muncul selepas satu eksperimen dijalankan dengan menggunakan sel-sel epitelium yang diambil daripada mulut untuk meneliti sebatian air liur. Sel-sel berkenaan kemudian diletakkan dalam dua bekas berasingan dan selepas itu sedikit koyakkan dibuat pada kedua-dua sel menyebabkan keadaan sel renggang.
Untuk melihat sebarang tindak balas, pengkaji menambahkan air liur ke dalam satu bekas uji kaji dan satu bekas lagi dimasukkan air biasa. Selepas 16 jam berlalu, sel yang mengandungi air liur menunjukkan reaksi di mana koyakkan tadi hampir tertutup. Manakala sel yang diletakkan di bawah pengaruh air biasa tidak menunjukkan sebarang perubahan.

            Kesimpulan uji kaji ini, para peneliti mengatakan bahawa air liur atau ” saliva ” bukan sekadar cairan dalam mulut yang dianggap menjijikkan, tetapi ia menyimpang banyak kebaikan yang tidak diketahui umum. ” Histatin “, protein kecil dalam air ludah misalnya, sebelum ini bahawa ” Histatin ” dalam air liur bukan saja mampu mengawal bakteria jahat, tetapi ia membantu proses penyembuhan luka.

         Termaktub dalam Shahih Al-Bukhari dan Muslim dan Aisyah r.a., mengkhabarkan: “Dahulu pada masa Rasulullah,jika ada orang sakit, terluka atau kudis, baginda melakukan seperti ini dengan jarinya 1
*1-Orang Arab biasa menggunakan kata ‘ucapan’ sebagai ungkapan untuk menggambarkan segala bentuk perbuatan .Rujuk An-Nihayah III:285
(Sufyan mencontohkan dengan meletakkan jari telunjuknya di atas tanah lalu mengangkatnya) sambil berkata:
“Dengan nama Allah, tanah negeri kami dengan air ludah sebahagian di antara kami, mudah-mudahan sembuhlah penyakit ini dengan izin Tuhan kami. “ [ Ditakhrij oleh Al-Bukhari,Muslim,An-Nasa’I dan Ahmad]

        Maksud hadis tersebut, bahawa Rasulullah s.a.w. mengambil Iudahnya sendiri lalu meletakkan di hujung jari telunjuk, kemudian diletakkan di atas tanah hingga sebahagian tanah itu melekat, baru diusapkan pada luka tersebut. Baginda juga mengucapkan kalimat yang berisi pengambilan berkat menyebut 2nama Allah, menyerahkan urusan kepada-Nya, bertawakkal kepada-Nya hingga dua jenis rawatan itu disatukan dan pengaruhnya menjadi lebih kuat.


        Penemuan ini turut diakui oleh pensyarah Biologi di Jabatan Sains Biokimia, Fakulti Peubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia ( UPM ), Dr. Huzwah Khazaai. Beliau berkata, amalan menggunakan air liur dalam perubatan sebenarnya telah lama dilakukan sejak zaman dahulu lagi. Misalnya, mengapa orang yang mengalami luka akibat terhiris jari ataupun tertusuk jarum memasukkan jari ke dalam mulut? Daripada sudut saintifik, perbuatan ini ada alasannya.

        Dalam konteks penyembuhan luka, ujar dr.Huzwah, air liur memang tidak dapat dinafikan mengandungi banyak pelindung alamiah yang bertindak sebagai antibakteria, antifungus dan antivirus.. ” Histatin ” iaitu protein kecil dalam cairan mulut, antaranya tidak hanya bertindak sebagai antifungus, tetapi pada masa yang sama, ia turut berperanan sebagai antibakteria.

        Selain itu, ‘ lisozim ‘ yang terdapat dalam air liur terut berperanan memecahkan atau menghancurkan dinding sel bakteria menyebabkan bakteria mati dalam mulut. Dan satu pekara yang mungkin tidak ramai tahu bahawa dalam cairan liur juga sebenarnya mengandungi imunoglobulin yang bertindak sebagai antibodi.
Berdasarkan penelitian yang pernah dilakukan di Jepun pada tahun 2001 mendapati, air liur mengandungi 40 hungga 50 protein. Setiap protein tersebut mempunyai fungsi yang berbeza dan mempunyai kemampuan untuk membunuh atau mencegah pertumbuhan bakteria.

     Di sinilah, jelas Dr.Huzwah, air liur bekerja sebagai pelindung alamiah, seterusnya terlibat dalam pengubatan. Ia menjadi jawapan kenapa luka pada gusi gigi yang baru dicabut cepat pulih berbanding luka di bahagian anggota tubuh lain. Daya pertahanan dalam mulut ini bagaimanapun tidak ketahui sejauh mana kekuatannya. Pun begitu, semua komposisi inilah yang bergabung dan bekerja dalam proses penyembuhan.
Di samping itu, kajian dari Belanda ini turut memberikan kita pemahaman mengapa sesetengah haiwan menjilat luka di tubuh keraana inilah saja cara ‘mereka’ mengubati kecederaan ini secara alamiah. Laporan ini telah disiarkan dalam THE JOURNAL OF FEDERATION OF AMERICAN SOCIETIES FOR EXPERIMENTAL BIOLOGI (FASEB)

Friday, 16 November 2012

HIJRAH DAN PENGORBANAN

 

Mungkin kita memahami pengertian Hijrah itu semata-mata berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain sebagaimana Rasulullah S.A.W. melalui peristiwa berhijrah dari Mekah ke Madinah. Sebenarnya hijrah membawa pengertian yang luas, iaitu keluar dari medan perjuangan yang sempit ke gelanggang yang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara yang hak dengan yang batil. Ia juga merangkumi perpindahan kepada hidup yang lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada dalam lingkungan rahmat dan keredhan Illahi. Allah s.w.t berfirman di dalam surah Ar. Ra’d ayat 11 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.”
Apabila umat Islam memiliki inisiatif untuk mengubah keadaan mereka sendiri, maka pertolongan Allah pasti datang. Allah akan mengubah keadaan mereka dari kehinaan dan kerendahan kepada kemuliaan dan ketinggian. Dari keadaan yang kurang maju kepada keadaan yang lebih maju dan berjaya. Ini dibuktikan oleh firman Allah s.w.t dalam surah Muhammad ayat 7 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu”.
Justeru untuk memastikan perubahan diri manusia, kita perlu meneliti pelbagai aspek yang perlu dititikberatkan. Antaranya ialah melalui pembangunan jiwa, pembangunan mental dan juga pembangunan fizikal.

Sedar ataupun tidak, kita sekarang ini akan berada di bulan Muharram bagi tahun baru 1434H. Pelbagai usaha dan cara dilakukan oleh umat Islam dalam menyambut kedatangan tahun baru Hijrah, di antaranya ialah dengan meningkatkan lagi kesedaran dan penghayatan umat Islam terhadap taqwim Hijrah yang sangat tinggi nilainya. Sudah sekian lama, umat Islam lebih terbiasa dengan kalendar Masihi dalam kehidupan seharian. Tanyalah diri kita masing-masing tentang sejauh manakah penggunaan taqwim Hijrah untuk mengatur urusan hidup kita seharian? bagaimanakah mungkin kita dapat menentukan waktu solat, puasa Ramadan, hari raya dan beberapa lagi hari penting dalam Islam tanpa kita merujuk kepada taqwim Hijrah?. Menjadi tanggungjawab kita semua sebagai umat Islam, memartabatkan penggunaan taqwim Hijrah, agar identiti umat Islam lebih terserlah.

Sambutan tahun baru Hijrah juga bertujuan mengajak umat Islam agar menghayati konsep Hijrah yang pernah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW. Sekiranya pada bulan Zulhijjah yang baru lalu, kita banyak menyentuh tentang pengorbanan suci yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan anak kesayangannya Nabi Ismail A.S serta beberapa pengorbanan yang lain, maka pada bulan Muharram pula, kita perlu memfokuskan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah sehingga berjaya mendirikan Negara Islam. Perintah Hijrah ini bukan sahaja dilalui oleh Nabi Muhammad SAW, tetapi turut dilalui oleh beberapa nabi-nabi dan rasul-rasul sebelum ini. Jelas sekali hubungan rapat antara korban dan Hijrah tidak dapat dipisahkan sama sekali. Hanya orang yang sanggup berkorban kerana Allah SWT dan Rasul-Nya sahajalah yang mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat serta diberi pertolongan oleh Allah SWT.



Wednesday, 14 November 2012

SOLAT DARIPADA SUDUT SAINS


 
Ketua Pakar Penyelidik Sains Solat, Fakulti Bioperubatan, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim.

Dalam pembentangan kajian pertama bertajuk Kesan Postur Badan dan Pergerakannya di Dalam Solat, Dr. Fatimah menjelaskan pergerakan dalam solat amat mempengaruhi keadaan tubuh badan.

Semasa meletakkan tangan di antara dada dan pusat selepas takbiratul ihram, posisi tangan pada waktu itu adalah dalam keadaan rehat.

Jika dilihat dari sudut fisiologi, posisi tersebut berada dalam keadaan rehat yang maksimum. Ia mampu melancarkan pergerakan sendi dan mengelakkan penyakit sendi.

Pada posisi rukuk, seseorang akan berasa sakit di bahagian belakang paha jika menekan kedua belah lutut dengan meluruskan tangan.

Posisi 90 darjah seperti yang disarankan oleh Rasulullah mampu menyembuhkan penyakit berkaitan tulang belakang.

Lutut perlulah diletakkan terlebih dahulu diikuti tangan dan kepala dalam kedudukan sujud.

Kedudukan begini adalah cara terbaik menjadikan otot besar dan kuat. Secara tidak langsung, ia amat membantu melancarkan pengaliran darah dan limpa ke seluruh anggota badan.

Dr. Fatimah turut menjemput seorang peserta membuat demonstrasi di pentas bagi membuktikan kebenaran kajiannya.

Peserta berkenaan mencuba seperti apa yang diarahkan dan bersetuju dengan apa yang dijelaskan oleh Dr. Fatimah.

Beliau menekankan kepentingan solat dan menasihatkan peserta agar tidak timbul niat menjadikan solat semata-mata untuk menjadi sihat, kerana perkara sedemikian amat bercanggah dengan tujuan solat.

Katanya, solat adalah khusus kepada Allah, maka ia tidak boleh disertakan dengan niat lain bagi tujuan kesihatan.

Cuma apa yang ditekankan dalam kajian tersebut adalah kesan sampingan daripada bersolat, manusia akan memperoleh kebaikan yang tidak dapat dinafikan kebenarannya.

"Kajian Dr. Fatimah menunjukkan bukti bahawa manusia akan mencapai kecergasan dan kesihatan yang terbaik semasa bersolat," katanya.

Dalam satu lagi sesi bertajuk Solat dan Kesan Kepada Denyutan Jantung' Dr. Fatimah menjelaskan jantung memainkan peranan amat penting dan sangat berjasa kepada manusia.

Denyutan jantung dalam keadaan rehat adalah di antara 60-80 denyutan seminit.

Akan tetapi bagi atlet sukan, kadar denyutan jantung mereka lebih rendah, iaitu 40-60 denyutan seminit.

Peserta diberi kefahaman bahawa, semakin rendah kadar denyutan jantung, bermakna kesihatan jantung lebih terjaga.

Kesihatan jantung perlu diberi perhatian serius memandangkan kematian akibat serangan jantung semakin meningkat dan tidak mengenal usia.

Ia juga dikatakan pembunuh nombor satu negara kerana serangannya berlaku secara senyap dan tidak mengira keadaan.

Bahaya yang ditunjukkan akibat serangan jantung begitu membimbangkan, dan beliau berjaya menemui bukti saintifik bahawa dengan bersolat, kadar denyutan jantung dapat dikawal dengan baik.

Selain itu, dengan melakukan solat juga dapat mengurangkan risiko darah tinggi.

Jantung berdenyut dengan kadar paling rendah semasa posisi sujud, iaitu sebanyak 72 dan 73 denyutan seminit.

Apabila seseorang duduk pada tahiyat akhir, kadar denyutan jantung meningkat semula dan ia mengepam darah ke bahagian atas badan serta kepala.

Secara tidak langsung, jumlah darah yang diperlukan juga meningkat.

Hasil kajian beliau mendapati, posisi sujud adalah kedudukan terbaik untuk kesihatan jantung. Lebih banyak bersujud, maka seseorang dapat mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan tekanan darah. UM/-

Monday, 12 November 2012

KEM BESTARI SOLAT PERDANA - SOLAT SEMPURNA PEMBINA PERIBADI MULIA


Empat perkara yang harus difikirkan sebelum bersolat supaya solat diterima oleh Allah.
Perkara-perkara disebutkan di bawah ini adalah petikan dari kitab Kuliah Subuh karangan al-Marhum Syed Ahmad Semait. Beliau berkata, Imam al-Murzabani Rahimahullah alaihi membincangkan tentang syarat-syarat solat yang sempurna, perkara tersebut adalah:
01.Hadir hatinya
Sesiapa yang solat dengan masih mempunyai fikiran yang tidak fokus maka mereka adalah penyembah yang lalai.
02.Bersaksi akalnya
Sesiapa yang solat dengan akalnya tidak memerhatikan setiap gerak-geri dalam solat tersebut maka mereka adalah penyembah yang pelupa.
03.Khudu' خضوع (menerima) kepada rukun-rukunnya
Sesiapa yang solat tanpa khudu', atau mengamati dan fokus pada setiap rukun-rukun dan bacaan dalam solatnya, maka orang itu adalah penyembah yang kering.
04. Kusyu' خشوع (menghormati) segala anggotanya
Sesiapa yang solat tanpa khusyu' anggotanya; iaitu setiap dari anggotanya bersolat seiring dengan hati dan fikiran yang redha kepada Allah, maka orang itu adalah penyembah yang salah.
Semoga bersama kita mendapat ganjaran solat-solat yang diterima Allah. Amin.
Wallahu a'lam.
Rasulullah s.a.w bersabda : "Sesungguhnya apabila seseorang hamba berdiri untuk solat maka diletakkan semua dosa-dosanya di atas kepala dan kedua-dua bahunya. Setiap kali ia rukuk atau sujud, maka akan berjatuhanlah dosa-dosanya itu" [H.R.Attabrani]